Muqaddimah
Sesungguhnya
kewajiban yang mula-mula sekali atas setiap manusia ialah mengenal akan Allah
swt atas dasar ilmu. (Muhammad 47:19) Kemudian mengetahui akan
Rasulullah saw dan membenarkan risalah nya atas dasar pengetahuan yang yakin
tanpa keraguan. (Ar Ra'd 13:19) Selanjutnya wajib atas manusia
mengetahui akan Diennya yang telah diperintahkan oleh Allah swt untuk mengikuti
dengan penuh ketaatan dan menolak selainnya, sebab dengan penolakkan itu
menjadi syarat seseorang dapat beribadah kepada Allah dengan betul dan benar. (Al
An'am 6:153)
Orang yang paling
tinggi darjatnya ialah orang yang berilmu dan beriman. Dan ilmu itu mestilah
dengan mencari dan mendapatkan maklumat yang lengkap dan sempurna. Dan pokok
dasar ilmu itu ialah Ma'rifatullah (Mengenal Allah), Ma'rifaturrasul (Mengenal
Rasul) dan Ma'rifatu Dienil Islam (Mengenal Dienul Islam). Inilah sepenting
penting kewajiban yang mesti diketahui oleh setiap Insan, sebab seseorang itu
apabila dia melakukan amal ibadah tanpa didasari atas ma'rifat kepada Allah swt
maka sia-sialah seluruh aktiviti (kegiatan) kehidupannya. (Al Furqan
25:22-23)
Seseorang telah
datang menanyakan sesuatu persoalan kepada Rasulullah saw. Katanya: Wahai
Rasulullah, apakah amalan yang paling afdhal (utama)? Beliau menjawab: Ilmu
Tentang Allah Azaa wa Jalla. Orang itu bertanya lagi, Ilmu apakah yang tuan
maksudkan? Beliau menjawab: Ilmu Tentang Allah Yang Maha Suci. Maka orang itu
bertanya lagi, kami tanyakan tentang amal yang paling utama, sedang tuan menjawab
Ilmu. Beliau menjawab: sesungguhnya sedikit amal dengan berma'rifatullah akan
bermanfaat, sebaliknya banyak amal sekalipun, tetapi jahil tentang Allah tidak
ada manfaatnya. (Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Bar)
Ma'rifatullah
atau mengenal Allah Azza wa Jalla. adalah ilmu yang paling asas, kedudukannya
dalam Islam sangat penting, tinggi dan mulia. Ini kerana Ia merupakan asas
dibangunkan segala amal dalam kehidupan. Dari sanalah dibangun
Ma'rifaturrasul dan Ma'rifatu Dienil Islam secara utuh.
cara ma’rifatullah
Apabila manusia
menggunakan akal fikirannya sedikit saja, ia akan mendapati dan menemukan
bahawa Allah lah yang telah menciptakan alam semesta termasuk manusia dan
memberikan baginya alat-alat terpenting untuk mengenal dan mengetahui segala
macam Ilmu Dien dan Ilmu Dunia, dan tidak mungkin bagi seorang itu memperoleh
ilmu sedikitpun melainkan dengan alat-alat tersebut iaitu pendengaran,
penglihatan dan hati. (An Nahl 16:78)
Tanpa manusia
mengenal penciptanya. tidaklah ia mengikuti petunjuk Nya yang akan membawanya
kepada kebahagiaan hidup dunia dan akhirat, sebaliknya ia akan menjadi
orang-orang yang rugi. Oleh kerana itu maka kewajiban manusia yang pertama
ialah mengenal Allah swt. Metod untuk Ma’rifatullah ialah dengan Petunjuk Dienul
Islam dan dibantu pula dengan Ma’rifatullah menggunakan Petunjuk Akal Fikiran.
ma’rifatullah dengan petunjuk Dienul islam
Melalui Petunjuk
Dienul Islam, terdapat tiga kaedah untuk Ma’rifatullah atau Mengenal Allah
iaitu dengan Ma’rifah Fie Rububiyyatihi iaitu Mengenal Allah melalui Rububiyyah
Nya, Ma’rifah Fie Asmaihi Wa Sifatihi iaitu Mengenal Allah melalui Asma’ (nama)
dan Sifat Nya dan Ma’rifah Fie Uluhiyyatihi iaitu Mengenal Allah melalui
Uluhiyyah Nya.
ma’rifatullah melalui rububiyyah nya
Maksudnya ialah
berma'rifah bahawa Allah adalah Rabb semesta alam, Pencipta segala makhluk,
Pemiliknya, Pengatur, Pemberi Rezeki dan Dialah yang telah mengajar dan
mendidik para Nabi, Rasul dan pengikutnya diatas aqidah yang benar, akhlaq yang
terpuji, ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. (Al Fatihah 1:2; Az Zumar
39:62; Ali Imran 3:189; Ar Ra’d 13:2; Al Ankabut 29:60; Ar Rahman 55:1-4)
ma’rifatullah melalui asma’ dan sifat nya
Iaitu berma'rifah
bahawa Allah mempunyai nama-nama yang agung dan sifat-sifat yang tinggi yang
Dia beritahukan melalui lisan Rasul Nya (Al Quran dan As Sunnah). Al Asmaul
Husna tidaklah terbatas kepada yang termaktub di dalam Al Quran dan As Sunnah.
Rasulullah saw bersabda:
Tidaklah seseorang ditimpa keresahan (kecemasan) dan
kesedihan kemudian dia berkata, Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba
Mu, anak dari hamba Mu (lelaki) dan anak dari hamba Mu (perempuan), ubun-ubunku
ada di tangan Mu, hukum Mu berjalan padaku, Keputusan Mu adil bagiku, aku
meminta kepada Mu dengan (berwasilahkan) semua nama yang Engkau miliki, Engkau
namakan diri Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dalam kitab Mu atau yang
Engkau ajarkan kepada salah satu dari makhluk Mu, atau yang Engkau simpan dalam
ilmu ghaib di sisi Mu, agar Engkau jadikan Al Quran yang agung sebagai
petunjuk hatiku, cahaya kalbuku, penghapus kesedihanku dan penghilang
kegelisahanku, kecuali Allah akan menghapus kesedihan dan keresahannya dan
menggantikannya dengan kelapangan. (Hadis Riwayat Ahmad bin Hambal)
Nama-nama Allah, sifat-sifat Nya serta zat Nya, tidaklah
sama dengan nama, sifat dan zat makhluk Nya. (As Syura 42:11; Al A’raf
7:180)
Diantara beberapa Al Asmaul Husna dan sifat-sifat Allah
termaktub dalam ayat dan hadis berikut: (Al Hasyr 59:23-24; As Sajadah 32:4)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya:
Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: Allah tersenyum terhadap dua orang
lelaki, salah seorang darinya membunuh yang seorang lagi namun kedua-duanya
dimasukkan ke dalam Syurga. Para Sahabat bertanya: Bagaimana boleh terjadi
begitu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Seseorang yang ikut berperang pada
jalan Allah lalu beliau mati syahid, kemudian orang yang membunuh tadi telah
bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya. Setelah memeluk Islam beliau juga
turut keluar berperang pada jalan Allah, kemudian beliau juga mati syahid.
ma’rifatullah melalui uluhiyyatihi
Iaitu berma'rifah
bahawa Allah sahajalah yang berhak atas penghambaan dan peribadatan
daripada keseluruhan makhluk Nya. Keesaan Allah didalam kesempurnaan Al Asmaul
Husna, sifat-sifat Nya dan Rububiyyah Nya menuntut ‘Tiada yang berhaq diibadahi
selain Dia’. Segala makhluk harus memurnikan ibadah hanya kepada Allah sahaja. (Al
An’am 6:101; Az Zariyat 51:56; Al Hijr 15:99; Yusuf 12:40,67)
ma’rifatullah dengan petunjuk akal fikiran
Kaedah Pertama: Sesuatu yang tidak ada, tidak
mungkin mencipta sesuatu. Sesuatu yang tidak wujud (ada) baginya, tiadalah
dapat ia menciptakan/ menjadikan sesuatu kerana ia tidak wujud (ada). Padahal
apabila kita fikirkan makhluk yang lahir dari bangsa manusia, haiwan dan
tumbuh-tumbuhan, dan jelasnya mereka semuanya wujud di alam nyata. Juga seperti
angin, hujan, malam dan siang, dan kita lihat benda-benda yang bergerak,
berputar, beredar dalam satu aturan yang tertib dan rapi. Dan cuba kita arahkan
pandangan kepada planet matahari, bulan, bintang-bintang dan sebagainya dalam
sistem Bima Sakti, maka jangkauan akal menetapkan bahawa semua itu bukan
dicipta oleh sesuatu yang tidak wujud, sesungguhnya dia berasal dari ciptaan
yang Maha Pencipta yang wujud dalam semesta ini (At-Tur 52:35-36).
Kaedah kedua: Segala sesuatu yang tercipta
menunjukkan sebagai sifat pembuat (pencipta). Sesungguhnya segala yang didapati
di alam yang wujud menunjukan atas adanya kuasa atau sifat-sifat pembuat
(Penciptanya). Sebagaimana tidaklah mungkin wujud sesuatu jika
penciptanya tidak mempunyai kekuasaaan atau sifat yang boleh menjadikan
sesuatu. Maka dalam kaedah ini kita mendapatkan sesuatu hukum teori Sebab-Akibat
yang beerti bahawa adanya sesuatu menunjukkan sebab adanya Pencipta, iaitu
Allah s.w.t sebagai sumber segala sebab itu (Prima Causa).
Dan hakikat kejadian alam semesta ini mestilah tertakluk
kepada peraturan jangkauan akal, iaitu: Wajib, Mustahil dan Jaiz (mungkin).
Wajib pada akal adalah sesuatu yang pasti diterima logik dan tidak dapat
ditolak. Manakala mustahil ialah sesuatu perkara yang mesti ditolak oleh akal
fikiran. Sedang Jaiz adalah sesuatu yang fikiran mengatakan boleh jadi ada dan
berlaku dan boleh jadi tiada dan tidak berlaku. Adapun alam raya yang rapi dan
sangat teratur ini akal fikiran tidak dapat menolak, ia telah wujud dan
pastilah ada pula yang mewujudkannya (menciptakannya). Itulah Allah Rabbul
Alamin. Dan tidaklah masuk akal (logik) jika alam ini terjadi tanpa ada yang
menjadikannya.
Maka orang yang menggunakan akal fikirannya dengan
sebaik-baiknya pastilah ia akan sampai kepada suatu peringkat untuk
Ma'rifatullah, kemudian akan beriman secara bersungguh-sungguh kepada Nya. (Al
Jathiyah 45:3-6; Al A'raf 7:85)
akibat buruk menafikan peranan akal fikiran
Ketinggian dan
kemuliaan yang diberikan kepada manusia dibanding dengan mahkluk lainnya ialah
pada akal fikiran. Apabila manusia tidak menggunakan dan memfungsikannya
sebagaimana mestinya maka kedudukannya akan turun hingga taraf yang lebih
rendah. (Al A'raf 7:179)
Sesungguhnya orang yang tidak
menggunakan akal fikirannya secara terbuka, maka ia akan menjadi penghalang
bagi masuknya kebenaran. Dan ia akan menjadi pengekor dan pengikut kebatilan
dalam segala aspek kehidupannya. Yang mereka ikuti hanyalah akal orang lain,
yang dapat memberi manfaat dunia, sedikit dalam kehidupannya. (Al Baqarah
2:170; Al Maidah 5:104; Lukman 31:21)
pujian bagi manusia yang menggunakan akal fikiran
Orang-orang yang
menggunakan akal fikirannya mengikuti kaedah-kaedah yang telah ditetapkan
padanya (dengan berfikir berlandaskan Al Quran dan As Sunnah dan tidak
mendahulukan pendapat sendiri berbanding pendapat Allah dan Rasulnya), Allah
memberikan sanjungan yang tinggi sebagai orang-orang yang mendapat hidayah dan
taufiq Allah s.w.t. (Az Zumar 39:17-18) Orang-orang yang memiliki akal
fikiran yang waras ialah orang orang yang mempunyai sifat:
- Selalu
memikirkan ciptaan Allah.
- Selalu
berzikir.
- Banyak
berdoa.
(Ali Imran 3:190-194)
No comments:
Post a Comment
ini komentar