Menjalankan Hukum Allah
Menjalankan Hukum-hukum Terhadap Manusia Menurut Lahirnya,
Sedang Keadaan Hati Mereka Terserah Allah Ta'ala
Allah Ta'ala berfirman:
"Maka jikalau orang-orang itu bertaubat dan mendirikan
shalat serta menunaikan zakat, maka bebaskanlah jalannya - yakni merdekakanlah
menurut kemahuan hatinya." (at-Taubah: 5)
389. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Saya diperintah untuk memerangi semua manusia,
sehingga mereka suka menyaksikan bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan
bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah dan mendirikan shalat serta
menunaikan zakat. Maka jikalau mereka telah melakukan yang sedemikian itu,
terpeliharalah daripadaku darah serta harta benda mereka, melainkan dengan
haknya Islam, sedang hisab - perhitungan amal - mereka adalah terserah kepada
Allah Ta'ala. (Muttafaq 'alaih)
390. Dari Abu Abdillah iaitu Thariq bin as-Syam r.a.,
katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang mengucapkan La ilaha illallah dan
kafir mengingkari - dengan sesuatu yang disembah selain daripada Allah, maka
haramlah harta benda serta darahnya, sedang hisabnya adalah terserah kepada
Allah." (Riwayat Muslim)
391. Dari Abu Ma'bad iaitu al-Miqdad bin al-Aswad r.a.,
katanya: "Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Bagaimanakah
pendapat Tuan, jikalau saya bertemu seseorang dari golongan kaum kafir,
kemudian kita berperang, lalu ia memukul salah satu dari kedua tanganku dengan
pedang dan terus memutuskannya. Selanjutnya ia bersembunyi daripadaku di balik
sebuah pohon, lalu ia mengucapkan: "Saya masuk Agama Islam kerana Allah,"
apakah orang yang sedemikian itu boleh saya bunuh, ya Rasulullah sesudah ia
mengucapkan kata-kata seperti tadi itu?" Beliau s.a.w. menjawab:
"Jangan engkau membunuhnya." Saya berkata lagi: "Ia sudah
memutuskan salah satu tangan saya, kemudian mengucapkan sebagaimana di atas itu
setelah memutuskannya." Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Jangan
engkau membunuhnya, kerana jikalau engkau membunuhnya, maka ia adalah menempati
tempatmu sebelum engkau membunuhnya dan sesungguhnya engkau adalah di tempatnya
sebelum ia mengucapkan kata-kata yang diucapkannya itu." (Muttafaq 'alaih)
Maknanya innahu bimanzilatika: sesungguhnya ia di tempatmu
ialah bahawa orang itu harus dipelihara darahnya sebab telah dihukumi sebagai
orang Islam. Adapun maknanya innaka biman zilatihi: sesungguhnya engkau di
tempatnya ialah bahawa halal darahnya dengan qishash untuk para ahli warisnya,
bukan kerana ia dalam kedudukannya sebagai orang kafir. Wallahu a'lam.'
392. Dari Usamah bin Zaid radhiallahu 'anhuma, katanya:
"Rasulullah s.a.w. mengirim kita ke daerah Huraqah dari suku Juhainah,
kemudian kita berpagi-pagi menduduki tempat air mereka. Saya dan seorang lagi
dari kaum Anshar bertemu dengan seseorang lelaki dari golongan mereka - musuh.
Setelah kita dekat padanya, ia lalu mengucapkan: La ilaha illallah. Orang dari
sahabat Anshar itu menahan diri daripadanya - tidak menyakiti sama sekali,
sedang saya lalu menusuknya dengan tombakku sehingga saya membunuhnya.
Setelah kita datang - di Madinah, peristiwa itu sampai
kepada Nabi s.a.w., kemudian beliau bertanya padaku: "Hai Usamah, adakah
engkau membunuhnya setelah ia mengucapkan La ilaha illallah?" Saya
berkata: "Ya Rasulullah, sebenarnya orang itu hanya untuk mencari
perlindungan diri saja - yakni mengatakan syahadat itu hanya untuk mencari selamat,
sedang hatinya tidak meyakinkan itu." Beliau s.a.w. bersabda lagi:
"Adakah ia engkau bunuh setelah mengucapkan La ilaha illallah?"
Ucapan itu sentiasa diulang-ulangi oleh Nabi s.a.w., sehingga saya
mengharap-harapkan, bahawa saya belum menjadi Islam sebelum hari itu - yakni
bahawa saya mengharapkan menjadi orang Islam itu mulai hari itu saja, supaya
tidak ada dosa dalam diriku." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain disebutkan: Lalu Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Bukankah ia telah mengucapkan La ilaha illallah, mengapa engkau
membunuhnya?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, hanyasanya ia
mengucapkan itu semata-mata kerana takut senjata." Beliau s.a.w. bersabda:
"Mengapa engkau tidak belah saja hatinya, sehingga engkau dapat
mengetahui, apakah mengucapkan itu kerana takut senjata atau kah tidak - yakni
dengan keikhlasan." Beliau s.a.w. mengulang-ulangi ucapannya itu sehingga
saya mengharap-harapkan bahawa saya masuk Islam mulai hari itu saja.
393. Dari Jundub bin Abdullah r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. mengirimkan sepasukan dari kaum Muslimin kepada suatu golongan dari kaum
musyrikin dan bahawa mereka itu telah bertemu - berhadap-hadapan. Kemudian ada
seseorang lelaki dari kaum musyrikin jikalau menghendaki menuju kepada seorang
dari kaum Muslimin lalu ditujulah tempatnya lalu dibunuhnya. Lalu ada seorang
dari kaum Muslimin menuju orang itu di waktu lengahnya. Kita semua
memperbincangkan bahawa orang itu adalah Usamah bin Zaid. Setelah orang Islam
itu mengangkat pedangnya, tiba-tiba orang musyrik tadi mengucapkan: "La
ilaha illallah." Tetapi ia terus dibunuh olehnya. Selanjutnya datanglah
seorang pembawa berita gembira kepada Rasulullah s.a.w. - memberitahukan
kemenangan, beliau s.a.w. bertanya kepadanya - perihal jalannya peperangan -
dan orang itu memberitahukannya, sehingga akhirnya orang itu memberitahukan
pula perihal orang yang membunuh di atas, apa-apa yang dilakukan olehnya. Orang
itu dipanggil oleh beliau s.a.w. dan menanyakan padanya, lalu sabdanya:
"Mengapa engkau membunuh orang itu?" Orang tadi menjawab: "Ya
Rasulullah, orang itu telah banyak menyakiti di kalangan kaum Muslimin dan
telah membunuh si Fulan dan si Fulan." Orang itu menyebutkan nama beberapa
orang yang dibunuhnya. Ia melanjutkan: "Saya menyerangnya, tetapi setelah
melihat pedang, ia mengucapkan: "La ilaha illallah." Rasulullah
s.a.w. bertanya: "Apakah ia sampai kau bunuh?" Ia menjawab:
"Ya." Kemudian beliau bersabda: "Bagaimana yang hendak kau
perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari kiamat?"
Orang itu berkata: "Ya Rasulullah, mohonkanlah pengampunan - kepada Allah
- untukku." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana yang hendak kau
perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari kiamat?"
Beliau s.a.w. tidak menambahkan sabdanya lebih dari kata-kata:
"Bagaimanakah yang hendak kau perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia
telah tiba pada hari kiamat?" (Riwayat Muslim)
394. Dari Abdullah bin Utbah bin Mas'ud, katanya: "Saya
mendengar Umar bin Alkhaththab r.a. bersabda: "Sesungguhnya sekalian manusia
itu dahulu diterapi dengan hukum sesuai dengan adanya wahyu yakni di zaman
Rasulullah s.a.w., dan sesungguhnya wahyu itu kini telah terputus - tidak
datang lagi, sebab Nabi s.a.w. telah wafat. Maka hanyasanya kami - Umar r.a. -
menuntut engkau semua dengan dasar apa yang nampak pada kami iaitu mengenai
perbuatan-perbuatan yang engkau semua lakukan. Jadi barangsiapa yang
menampakkan perbuatan baik pada kami, maka kami berikan keamanan dan kami
dekatkan kedudukannya pada kami, sedang urusan apa yang dalam hatinya tidak
sedikitpun kami persoalkan, kerana Allah akan menghisabnya dalam hal isi
hatinya itu. Tetapi barangsiapa yang menampakkan kelakuan buruk pada kami, maka
kami tidak akan memberikan keamanan padanya dan tidak akan percaya ucapannya,
sekalipun ia mengatakan bahawasanya niat hatinya adalah baik." (Riwayat
Bukhari)
No comments:
Post a Comment
ini komentar