Imam Abu Hanifah [80H/699M–
150H/767M] Imam Abu
Hanifah atau
nama sebenarnya Numan bin Tsabit bin Zhuthi’ lahir pada tahun
80H/699M di Kufah, Iraq, sebuah bandar yang sudah sememangnya terkenal sebagai
pusat ilmu Islam pada ketika itu. Ianya diasaskan oleh ‘Abdullah ibn Mas‘ud
radhiallahu ‘anh (32H/652M), seorang sahabat zaman Rasulullah shallahu ‘alaihi
wasallam. Ayahnya seorang pedagang besar, sempat hidup bersama ‘Ali bin Abi
Thalib radhiallahu ‘anh. Imam Abu Hanifah sekali-sekala ikut serta dalam
urusniaga ayahnya akan tetapi minatnya yang lebih besar ialah ke arah membaca
dan menghafal Al-Quran. Imam Abu Hanifah pada satu hari telah berjumpa dengan
seorang tokoh agama yang masyhur pada ketika itu bernama as-Sya’bi. Melihatkan
kepintaran dan kecerdasan luar biasa yang terpendam dalam Imam Abu Hanifah,
as-Sya’bi menasihatkan beliau agar lebih banyak mencurahkan usaha ke dalam
bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat dan dorongan as-Sya’bi, Imam Abu Hanifah
mula menceburkan diri secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam. Imam Abu
Hanifah mula belajar dengan mendalami ilmu-ilmu qiraat, ilmu bahasa Arab ilmu
kalam dan lain-lain. Akan tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah ilmu
hadith dan fiqh. Beliau banyak meluangkan masa dan tenaga untuk mendalaminya.
Imam Abu Hanifah meneruskan pembelajarannya dengan bergurukan kepada as-Sya’bi
dan beberapa tokoh ilmuan lain di Kufah. Menurut riwayat, jumlah gurunya di
Kufah sahaja berjumlah 93 orang. Beliau kemudiannya berhijrah ke bandar Basrah
di Iraq, untuk berguru bersama Hammad bin Abi Sulaiman, Qatadah dan Shu’bah.
Setelah sekian lama berguru dengan Shu’bah yang pada ketika itu terkenal
sebagai Amir al-Mu’minin fi Hadith (pemimpin umat dalam bidang hadith), beliau
diizinkan gurunya untuk mula mengajar hadith kepada orang ramai. Berkata
Shu’bah: “Sebagaimana aku ketahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari,
aku juga ketahui dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasangan
bersama.” Imam Abu Hanifah tidak hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di
Kufah dan Basrah di Iraq. Beliau kemudiannya turun ke Makkah dan Madinah untuk
menuntut ilmu lagi. Di sana beliau duduk berguru kepada ‘Atha’ bin Abi Rabah.
Kemudiannya Imam Abu Hanifah duduk pula bersama Ikrimah, seorang tokoh besar
agama di Makkah yang juga merupakan anak murid kepada ‘Abdullah ibn ‘Abbas,
‘Ali bin Abi Thalib ra, Abu Hurairah ra dan ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu
‘anhum. Kehandalan Imam Abu Hanifah dalam ilmu-ilmu hadith dan fiqh diiktiraf
oleh Ikrimah sehingga beliau kemudiannya membenarkan Imam Abu Hanifah menjadi
guru kepada penduduk Makkah. Imam Abu Hanifah kemudiannya meneruskan
pengajiannya di Madinah bersama Baqir dan Ja’afar as-Shadiq. Kemudiannya beliau
duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas, tokoh besar kota Madinah ketika
itu. Walaupun Imam Abu Hanifah 13 tahun lebih tua daripada Imam Malik, ini
tidak menghalangnya untuk turut serta belajar. Apabila guru kesayanganya Hammad
meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Imam Abu Hanifah telah diminta
untuk mengganti kedudukan Hammad sebagai guru dan sekaligus tokoh agama di
Basrah. Melihatkan tiada siapa lain yang akan meneruskan perjuangan Hammad,
Imam Abu Hanifah bersetuju kepada jawatan tersebut. Mulai di sinilah Imam Abu
Hanifah mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai dari
serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Di samping
mengajar, Imam Abu Hanifah adalah juga seorang pedagang dan beliau amat bijak
dalam mengadili antara dua tanggungjawabnya ini sebagaimana diterangkan anak
muridnya al-Fudail ibn ‘Iyyadh: “Adalah Imam Abu Hanifah seorang ahli hukum,
terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk
sesiapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar dalam pembelajaran baik
malam atau siang hari, banyak beribadat pada malam hari, banyak berdiam diri,
sedikit berbicara terkecuali apabila datang kepadanya sesuatu masalah agama,
amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran dan tidak mahu menerima
pemberian penguasa.” Pada zaman pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah
beberapa kali meminta beliau menjawat kedudukan Qadhi kerajaan. Imam Abu
Hanifah berkeras menolak tawaran itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan al-Mansur
marah lalu dia menghantar Imam Abu Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan
daripada orang ramai menyebabkan al-Mansur terpaksa membenarkan Imam Abu
Hanifah meneruskan pengajarannya walaupun daripada dalam penjara. Apabila orang
ramai mula mengerumuni penjara untuk belajar bersama Imam Abu Hanifah,al-Mansur
merasakan kedudukannya mula tergugat. Al-Mansur merasakan Imam Abu Hanifah
perlu ditamatkan hayatnya sebelum terlambat. Akhirnya Imam Abu Hanifah
meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M (ketika berusia 68 tahun), yakni
ketika berada di dalampenjara disebabkan termakan makanan yang diracuni orang.
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga
mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini amat dirasai oleh dunia Islam. Solat
jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang
jamaah. Abu Hanifah mempunyai beberapa orang murid yang ketokohan mereka
membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat. Antara anak-anak murid Imam
Abu Hanifah yang ulung ialah Zufar (158H/775M), Abu Yusuf (182H/798M) dan
Muhammad bin Hasan as-Syaibani(189H/805M).
No comments:
Post a Comment
ini komentar