Biografi Imam Malik bin Anas
2. Imam Malik bin Anas [93H/711M –
179H/796M] Imam Malik
bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M. Beliau dilahirkan di dalam
sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi
yang telah dididik oleh para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
radhiallahu ‘anhum. Sejarah keluarganya juga ada hubungkait dengan ilmu Islam,
dengan datuknya sendiri adalah seorang perawi dan penghafal hadith yang
terkemuka. Pakciknya juga, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadith kota
Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami
ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang
sempat menghafal hadith daripada‘Abdullah ibn ‘Umar, ‘Aisyah binti Abu Bakar,
Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum. Selain
Nafi’, Imam Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Jaafar as-Shadiq, cucu
kepada al-Hassan, cucu kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Imam
Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi, Madinah dan berguru dengan Muhammad
Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah ad-Dinar, Yahya bin Saad dan Hishambin
‘Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada para sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Suasana kehidupan Imam Malik bin Anas di Madinah
yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para
tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka sempat belajar, mendengar hadith dan
mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa
Imam Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi
menunaikan ibadat hajinya. Imam Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih
peranan sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi, Madinah. Ajarannya menarik
sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam. Beliau juga
bertindak sebagai Mufti Kota Madinah pada ketika itu. Imam Malik juga ialah
antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadith-hadith
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam kitabnya al-Muwattha’.
Kitabnya ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai sehinggakan ia pernah
dikatakan oleh Imam as-Syafi‘e sebagai: “Tidak wujud sebuah buku di bumi yang
paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab Imam Malik ini.” Antara tokoh
besar yang duduk belajar bersama Imam Malik ialah Imam Abu Hanifah dari Kufah,
Iraq. Selain itu diriwayatkan juga bahawa sebanyak 1,300 tokoh-tokoh lain yang
duduk bersama menuntut ilmu bersama Imam Malik di Masjid Nabawi. Antaranya
termasuklah Muhammad bin Idris, yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Imam
as-Syafi‘e. Ketinggian ilmu Imam Malik bin Anas pernah diungkap oleh Imam Ahmad
bin Hanbal sebagai: “Imam Malik adalah penghulu daripara penghulu ahli ilmu dan
beliau pula seorang imam dalam bidang hadith dan fiqh. Siapakah gerangan yang
dapat menyerupai Imam Malik?” Imam Malik pernah dihukum oleh gabenor Kota
Madinah pada tahun 147H/764M kerana telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum
thalaq yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasid sebagai tidak sah. Kerajaan
Abbasid ketika itu telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat
kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh thalaq ke atas
isterinya. Memandangkan rakyat yang lebih taatkan ulama’ daripada pemimpin,
pemerintah Abbasid telah memaksa Imam Malik untuk mengesahkan fatwa mereka.
Imam Malik enggan, malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa thalaq sedemikian
tidak sah (tidak jatuh thalaqnya). Imam Malik ditangkap dan dipukul oleh
gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan
asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehinggakan beliau tidak lagi dapat
bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada, lalu dibiarkan sahaja
terkulai di tepi badannya. Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan
beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia
pada 11 Rabiul-Awwal, tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun (Hijriah). Di
antara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah ‘Abdarrahman bin al-Qasim
al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya
bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).
No comments:
Post a Comment
ini komentar