biografi Imam Muhammad bin Idris as-Syafi’e
Imam Muhammad bin Idris as-Syafi’e
[150H/767M – 204H/820M] Imam as-Syafi’e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama
sebenarnya ialah Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian
darah Quraisy dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya
membawanya ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap
berada di sana untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya
dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu. Kitab
ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam
Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal
keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah
untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas.
Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama
Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam
as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai.
Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai
guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan
jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama
kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu
pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan
dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika
itu. Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan
beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam
as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun
ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan
bermastautin di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak
murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad
bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi
Imam as-Syafi’e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara
dua ajaran Islam, yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.
Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu
beliau singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan
dipelawa memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf
sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup
jurang perbezaan di antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah.
Usahanya ini tidak disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan
mereka adalah kepada ajaran Imam Malik bin Anas. Pada tahun 194H/810M, Imam
as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan
Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di
Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di
sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan Imam as-Syafi’e
berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab: “As-Syafi‘e
mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada
orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i’tiqad yang
sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith
dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para
Khulafa’ ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang.” Dalam usahanya untuk cuba
menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu
Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para pengikut
Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam
perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e
telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika
itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.
Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika
berumur 54 tahun (Hijriah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab
yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah
yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada
sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga
meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam
as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub
al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu
Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).
No comments:
Post a Comment
ini komentar