Tuesday, 24 November 2015
biografi Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal [164H/781M –
241H/856M] Imam Abu ‘Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di
Baghdad, Iraq, pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan
meninggal dunia pada umur muda, iaitu 30 tahun. Ahmad kemudiannya dibesarkan
oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur’an
sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith
yang terkenal. Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan pengajian hadithnya dengan
sekian ramai guru dan beliau pada akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal
lebih daripada sejuta hadith termasuk barisan perawinya. Pada tahun 189H/805M
Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke Makkah dan
Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam
as-Syafi‘e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husain ibn
Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abdullah ibn Khalid, ‘Abdurrahman ibn Mahdi
dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman
pula untuk berguru dengan ‘Abdurrazzaq ibn Humam, seorang ahli hadith yang
besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya
ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama.
Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya
sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan
mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang
kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah al-Bukhari, Muslim dan Abu
Daud. al-Qasim ibn Salam pernah berkata: “Ahmad bin Hanbal adalah orang yang
paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih
mengetahui tentang as-Sunnah selain beliau. Beliau tidak pernah bersenda gurau,
selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.” Imam Ahmad bin
Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab
Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu. Mereka
(pemerintah) memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut. Imam Ahmad
enggan dan ini menyebabkan beliau dirotan di dalam penjara sehingga tidak
sedarkan diri. Akibat ketegasan Imam Ahmad bin Hanbal serta tekanan daripada
para orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasid telah terpaksa
membebaskan beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan
pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M,
ketika berusia 77 tahun Hijriah. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada
dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu “al-Musnad” yang mengandungi
lebih kurang 30,000 hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para
sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan
ayah mereka, iaitu ‘Abdullah bin Ahmad dan Shaleh bin Ahmad.
Label:
biografi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
ini komentar